Pages - Menu

Monday, September 19, 2011

Johnny English Reborn



SEPERTI biasa, bintang komedi kesayangan dunia yang lebih dikenali sebagai Mr Bean, Rowan Atkinson tidak pernah mengecewakan peminat. Biarpun masih pada wajah Mr Bean, Atkinson bijak membuang jauh watak itu lalu menggeletek penonton sebagai Johnny. Lantas memberi ruang jenaka baru kepada peminat setianya.
Apabila filem kali ini digarap pengarah dan sentuhan lakon layar baru, ia sekali gus mengetepikan kejayaan filem awal daripada segi plot, jenaka dan kepuasan tontonan. Pengarah juga dilihat bijak mengangkat bakat komedi Atkinson ke tahap lebih tinggi. Hampir dua jam penulis tidak henti-henti ketawa dek aksi dan komedi yang di luar kotak. 

Secara teknikal, ‘lubang’ yang pernah ada dalam filem pertama pada 2003 berjaya ditampung penuh gaya dalam filem ini. Atkinson ternyata bijak sebagai pelawak tanpa bercakap. Namun apabila dia mula beraksi, ditambah pula dengan skrip dan jalan cerita yang kuat, gabungan tampak sempurna. 

Adakala aksi jenakanya menenggelamkan babak berdialog hinggakan penulis kagum bagaimana aktor yang beraksi dengannya dapat menahan diri daripada ketawa.



Lakonan Rosamund Pike sebagai Kate Summer juga berjaya membantu watak Johnny menjadi lebih menarik. Apatah lagi pakar psikologi itu seolah-olah tertarik pada Johnny dan rela membantunya dengan cara hipnosis.



Ragam Johnny ketika dihipnosis menyukarkan penonton untuk duduk diam kerana setiap aksi Johnny terlalu menggelikan hati. Ada saja adegan tak kering gusi memenuhi ruang plot. 

Lakonan Daniel Kaluuya sebagai Tucker, pengintip muda yang sentiasa cergas, mengingatkan penulis dengan watak Chris Tucker yang tidak boleh duduk diam dalam filem Rush Hour. 

Walaupun ruang ketawa jelas memenuhi ruang panggung, ada beberapa kekurangan yang tampak jelas, terutama pada aras komedi yang dipersembahkan. 

Kadangkala tampak dibuat-buat dengan gabungan lawak bijak yang sinonim dengan gaya Eropah dengan slapstik bodoh gaya Amerika yang sering dipertontonkan dalam kebanyakan komedi Hollywood. 

Mengisahkan ejen rahsia yang kembali beraksi susulan keadaan yang memaksa. Pada awalnya, Johnny mahu melupakan tugas lamanya dengan melakukan tugas normal untuk mencari diri sendiri. 

Namun atas arahan Perkhidmatan Rahsia Diraja, dia terpaksa keluar daripada tempoh rehatnya untuk menghentikan sekumpulan pembunuh upahan antarabangsa yang mahu membunuh pemimpin dunia bagi mengkucar-kacirkan negara. 

Penulis terimbas semula plot filem Bean: The Ultimate Disaster Movie pada 1997 di mana Mr Bean yang bodoh alang dihantar mengetuai misi menghantar lukisan berharga daripada Muzium Seni London ke Amerika Syarikat. Cuma dalam Johnny English, dia lebih bijak dan mampu beraksi serta bukan menjadi Mr Bean, si bodoh alang. 

Jika dilihat perkembangan plot dan kekuatan jalan cerita, ia tidak terlalu mengagumkan kerana ia mungkin boleh dikatakan sama dengan mana-mana filem komedi dengan jalan cerita sama sebelum ini. Cuma bila watak yang berlegar di dalam jalan cerita ini kuat, filem ini dikategorikan sebagai filem pelepas tekanan yang terbaik. 

Tidak mustahil lagak dan gaya Johnny menumpaskan musuh akan melekat dalam otak. Malah pasti ada penonton tersenyum sendiri di luar panggung biarpun selepas seminggu tayangan dek teringatkan babak lucu Johnny English, si perisik hebat! 



DATA:
 FILEM: Johnny English Reborn
 ARAHAN: Oliver Parker 
PELAKON: Rowan Atkinson, Rosamund Pike dan Dominic West
 GENRE: Komedi aksi TAYANGAN: 15 September 2011 

No comments:

Post a Comment